Malam berikutnya, sang Raja
memerintahkan kepada Abu Nawas untuk meneruskan kisah-kisah aneh dan ajaib. Abu
Nawas menjawab, “Dengan senang hati, wahai raja yang baik dan bahagia…”
Ketika si pengawal itu datang, aku menyambutnya dengan mesra dan murah hati, dan ketika aku menyoalnya tentang majikannya, dia menjawab, “Dia sedang mabuk cinta kepadamu.”
Lalu aku bertanya padanya,
“Siapakah sebenarnya gadis itu?”
Dia menjawab, “Dia salah seorang
dayang yang bertugas melayani Zubaidah, isteri Khalifah, yang mengasuh dan
membesarkannya. Demi Tuhan, dia mengatakan pada majikannya tentang dirimu dan
memohon padanya agar mengahwinkannya denganmu, tetapi Zubaidah berkata, “Aku
tidak akan mengahwinkannya denganmu hingga aku mengetahui apakah dia kacak atau
tidak, dan apakah dia sesuai untukmu atau tidak.” Aku akan membawamu ke istana
sekarang juga, dan jika engkau berjaya memasukinya tanpa terlihat oleh sesiapa
pun, engkau boleh mengahwini gadis itu, tetapi jika ketahuan, engkau akan
kehilangan kepalamu. Bagaimana?”
Aku menyahut, “Aku bersiap sedia
untuk pergi bersamamu.”
Lalu dia berkata, “Apabila malam
tiba, pergilah ke masjid yang dibina oleh Zubaidah di sungai Tigris.”
Aku menyahut, “Baiklah.” Lalu aku
pergi ke masjid, melakukan solat Isyak dan tidur di sebelah luar masjid.
Sebelum fajar menyingsing, datanglah beberapa orang pelayan dalam sebuah
perahu, dengan kotak-kotak kosong, yang mereka simpan di dekat masjid dan kemudian
mereka pergi. Tetapi salah seorang di antara mereka tinggal di belakang, dan
ketika aku mengamatinya lebih teliti, aku mendapati bahawa dia adalah si
pengawal yang telah mendatangiku sebelum ini.
Tidak berapa lama muncul pula
gadis itu dan segera mendekatiku. Aku bangkit menyalaminya, dan dia duduk
bercakap-cakap denganku, dengan air mata bercucuran. Lalu dia mengarahkan aku
masuk ke dalam salah sebuah kotak dan menguncinya dari luar. Tak lama kemudian
para pelayan tadi kembali lagi dengan segala macam benda yang terus
dimasukkannya ke dalam kotak-kotak itu hingga mereka selesai mengisinya semua
dan menguncinya. Lalu mereka meletakkan kotak-kotak itu di dalam perahu dan
mulai mengharungi sungai menuju istana Zubaidah.
Aku segera menyesali apa yang
telah kulakukan, sambil berkata kepada diriku sendiri, “Demi Tuhan, celakalah
aku,” dan terus menangis dan memohon kepada Tuhan untuk membebaskanku hingga
perahu itu tiba di pintu gerbang istana khalifah. Lalu para pelayan itu
mengangkat kotak-kotak tersebut, termasuk kotak di mana aku berada di dalamnya.
Mereka membawanya melalui tepi sungai di mana para pengawal bertugas menjaga
perahu hingga mereka sampai pada seorang pengawal yang nampaknya adalah
pemimpin mereka. Ketua pengawal itu bangkit dari duduknya….
Tetapi fajar menyingsing. Abu
Nawas terdiam, lalu sang Raja berkata, “Ceritamu benar-benar aneh dan indah!”
Abu Nawas menjawab, “Esok malam ceritanya lagi menarik dan lagi indah.”
Tidak ada komentar:
Posting Komentar