Malam berikutnya,sang Raja
memerintahkan kepada Abu Nawas agar meneruskan kisah-kisah aneh dan ajaib, yang
menjadi kegemaran sang Raja. Abu Nawas menjawab, “Dengan senang hati, wahai
raja yang baik dan bahagia…”
Khalifah berkata kepada para pelayan, “Buka kotak ini, agar aku dapat melihat apa yang ada di dalamnya.”
Tetapi gadis itu berkata, “Wahai
tuanku, bukalah kotak ini di hadapan Puan Zubaidah, sebab apa yang ada di
dalamnya merupakan rahsianya, dan dia lebih mengistimewakan kotak yang satu ini
berbanding semua kotak lainnya.”
Ketika khalifah mendengar
penjelasannya, dia memerintahkan para pelayan untuk mengangkat kotak tersebut
ke dalam, dan dua orang pelayan segera mengangkat kotak tempatku bersembunyi,
sementara aku hampir tidak percaya bahawa aku masih hidup. Setelah kotak berada
di dalam sebuah ruangan di mana pengawal yang kukenali sebelum ini berada di
ruangan itu, dia segera memerintahkan aku agar segera keluar dari kotak.
Sambil membuka penutup kotak, dia
berkata, “Keluarlah cepat dan naikilah tangga ini.” Aku berdiri dan keluar dari
kotak, dan baru saja dia menutup kotak itu kembali dan aku menaiki tangga, para
pelayan itu masuk membawa kotak-kotak lainnya, diikuti oleh khalifah. Lalu
mereka membuka semuanya di hadapannya, sementara dia duduk di atas kotak tempatku
bersembunyi sebelumnya. Lalu dia bangkit dan masuk ke dalam ruangan.
Sepanjang tempoh itu aku duduk
dengan mulut kering kerana ketakutan. Tak lama kemudian gadis idamanku naik ke
atas dan berkata padaku, “Tidak ada lagi yang perlu ditakutkan. Bergembiralah
dan tunggu hingga Puan Zubaidah datang melihatmu, dan engkau mungkin akan
memperolehi nasib baik dan mendapatkan diriku.”
Aku turun ke bawah, dan begitu aku
duduk di sebuah ruangan kecil, masuklah sepuluh orang pelayan perempuan, semua
bagaikan rembulan, dan berdiri dalam dua barisan, dan mereka diikuti oleh dua
puluh orang perawan berdada tinggi, berjalan bersama Puan Zubaidah, yang hampir
tidak dapat berjalan kerana berat membawa pakaian dan perhiasannya.
Ketika dia mendekatiku, para
pelayan itu berpencar dan membawakannya sebuah kerusi, yang kemudian
didudukinya. Lalu dia berseru kepada gadis-gadis itu, yang akhirnya berseru
memanggilku, dan aku maju dan mencium tanah di hadapannya. Dia menyuruhku
duduk, dan aku duduk di hadapannya, sementara dia bercakap-cakap denganku dan
aku menjawab pertanyaan-pertanyaannya mengenai keadaanku.
Dia merasa senang denganku dan
akhirnya berkata, “Demi Tuhan, tidak sia-sia aku membesarkan gadis ini. Dia
seperti anakku sendiri, suatu amanah yang diberikan Tuhan kepadamu.” Lalu dia
menyuruhku tinggal selama sepuluh hari di istana….
Tetapi fajar menyingsing. Abu
Nawas terdiam, lalu sang Raja berkata, “Ceritamu benar-benar aneh dan menarik!”
Abu Nawas menjawab, “Esok malam ceritanya lagi menarik dan lagi aneh.”
Tidak ada komentar:
Posting Komentar